Bawang Putih Bawang Merah

November 24, 2006

Semalam aku ke Isetan. Bukit Bintang. Sebenarnya bukan la tujuan asal aku ke sana pun. Kebetulan aku ke opis member aku kat Bangsar, sebab nak selesaikan beberapa perkara kerja yang tertangguh sejak minggu lepas lagi. Masa aku baru je selesai kat opis member aku nih, anak buah aku tepon..”Ucu, boleh tolong tengokan harga PS2 tak? sekarang ni tengah cuti sekolah, jadi boring la duduk saja kat rumah nih..” dan aku pun masa tu dah abis kerja, aku pun jawab la “OK, jap lagi ucu tengok…”..wah..dengan mudah aje aku jawab untuk tengok harga PS2 tu…lepas tu, aku tanya lagi, “abis sekarang ni buat apa kat rumah?” pastu si Shikin (anak buah aku yang sulung) cakap, “tengok bawang putih, bawang merah la (BPBM), nak main game PC dah boring”…aku jawab dengan “ooooooooooo” yang panjang aje la..

Lepas je aku tengok harga PS2 tu kat Sungei Wang, aku ke Isetan..tak de niat apa pun aku ke sana tuh..saja jalan-jalan sambil mengimbau kisah lama..banyak memori aku kat sini dulu. Masa lepas SPM dulu, rajin aku ke sini..iyela, masa dulu, mana nak ada One Utama atau Midvalley…kat area Bukit Bintang ni la tempat melepak. Masa tu, ramai kawan-kawan aku sambung belajar kat area Cheras..yang nak fly obersee, melambak la buat A-level, ADP etc..jadi, tempat melepaknya sudah pasti la kat Bukit Bintang..Dulu ada bas mini, jadi sekejap je la sampainya…

Dalam aku saja2 window shopping kat Isetan ni, aku tertarik dengan sepasang kasut yang tak la mahal harganya (tengok, dalam harga yang tak mahal tu, terkoyak jugak aku RM380, beli kasut+Rain Coat+Track Suit). Lepas tu aku belek-belek kasut yang aku pakai ni, dah hancur rupanya kasut nih..Jadi aku pun mintala tolong sales assistant tu carikan saiz kasut yang sesuai. Masa aku tengah tunggu kasut aku sampai, aku terdengar la a group of sales assistant ni (majoritinya LadyBoy-siap maskara ala-ala Ziana Zain lagi) sedang bincang cerita Bawang Putih Bawang Merah. Macam-macam komen aku keluar..nak tergelak aku dengarnya..Mana tak tergelak, geng ladyboy ni bagi komen siap dengan tangan melentik-lentik lagi…sabar je la..

Aku teringat masa aku pergi makan Sate Haji Samuri kat highway Awan Besar (kat Bukit Jalil)..sedang aku makan sate tu, kebetulan pulak, cerita BPBM sedang keudara. Jadi penuh la meja Haji Samuri nih..yang cleanernya, melopong tengok cite nih..sume gantung penyapu untuk tengok dan komen..Yang pelayan Haji Samuri ni pun sama gak, sume nya dok melayan cite ni, bukannya layan customer..Kiranya masa tayangan cite BPBM nih, masa semacam terhenti aje, sebab sumenya pakat dok layan tengok..heran aku..

Perkara yang sama berlaku, masa aku pergi melepak rumah member aku kat Shah Alam..Member aku yang minat rock kapak pun turut sama terjebak dalam kancah BPBM. Apa yang sebenarnya membuat ramai sangat tengok cerita nih..Dan aku pun cuba-cuba la tengok cerita ni kat opis aku. Aku cuba juga mencari kekuatan cerita Sinetron ni, namun tak jumpa. Ada juga 2,3 episod aku tengok, tapi lepas tu aku meluat.

Minta maaf kalau aku cakap macam tu, tapi secara ikhlas, begitu la. Tak de apa kekuatan yang ada dalam cerita ini. Hanya penuh dengan tipu daya, busuk hati, benci, cemburu tanpa sebab yang munasabah dan segala macam kebobrokkan manusia. Kenapa susah sangat nak selesaikan masalah? Kenapa busuk sangat hati Bawang Merah? Banyak sangat persoalan yang malas aku bangkitkan…

Apa yang boleh aku simpulkan dalam cerita ini ialah, segala apa sifat buruk yang ditunjukan dalam sinetron ini, ada dalam diri kita, ORANG MELAYU! Kenapa aku cakap macam ni? tanya la diri sendiri. Atas sebab itu, maka kita pun seronok la menonton cerita memburukkan diri kita sendiri. Bukan ke banyak lagi cerita yang bagus untuk di lihat seperti Ilmuwan Islam di TV3 jam 6pm setiap Jumaat? Atau sapa yang ada Astro tu, kat Channel 50,51 dan 52…

Berbalik pada cerita aku tershopping kat Isetan tadi, si Ladyboy ni pun bagi la aku sepasang kasut yang sesuai dengan kaki aku nih. Aku bersetuju untuk membeli kasut tu (padahal tak terniat pun aku nak shopping hari ni) dengan sepasang Track Suit ADIDAS..Jadi masa aku nak bayar kat kaunter tu, terborak la aku dengan awek Juruwang nih. Aku tanya dia, kenapa ramai sangat ladyboy kat Isetan nih, pastu dia pun cakap “Entah la, saya pun meluat kat diaorang nih, mengada-ada….” Kami pun sakan la borak pasal ladyboy ni. Kira mengumpat la ni..Macam-macam cerita keluar dari awek Juruwang nih, dan aku pun menjerumus diri sekali dalam perbincangan (mengumpat ni)..Sebiji la macam dalam cerita BPBM. Lama juga kat situ, dan last-last aku tersedar..Aikkk…syok nya aku mengeji, mengumpat, mengata orang…Kan aku cakap tadi, orang melayu macam aku nih,mahir sangat buat benda-benda yang tak berfaedah tu. Nampaknya, lepas ni aku kena tengok cerita BPBM la, sebab aku pun dah macam Bawang Merah, benci dan meluat dengan orang lain tanpa sebab yang munasabah.

Samseng Jalan Raya

November 20, 2006

Salam..kan aku dah cakap, bila aku malas, memang akan bersawang la jawabnya blog ni. Semenjak balik dari raya ni, sibuk semacam aje. Kadang tu, sampai tengah malam aku kat opis. Hari ni, aku nak menaip juga. nak update skit..Sebenarnya aku baru balik dari mesyuarat kat Putrajaya..Biasala, kalau meeting dengan kementerian ni, sahihnya akan ada yang diaorang smash..ada aje yang tak kena…nasib baik la aku dah banyak kali juga pengalaman berurusan dengan gomen nih, jadi, tak la terasa sangat pedihnya…

Kita tinggalkan pasal mesyuarat dengan gomen tu..buat sakit hati je kalau nak pikir banyak-banyak. Kali ni aku nak cerita pasal pembuli jalan raya. Ceritanya lebih kurang begini la..Semalam aku balik dari Dewan Merak Kayangan, sempena dengan majlis persandingan kawan baik aku ni. Biasala, bila majilis kat dewan ni, mesti la stylo kan..Nasib baik aku tepon dia dulu untuk tanya pakaian yang sesuai. kalau tak, sahih aku akan ditugaskan jadi jaga kereta kat parking lot tuh…
Yang datang pun,dato-datuk, mak-mak datin,dan seperti biasa, aku akan rimas dengan majlis yang penuh dengan protokol dan formality. Diaorang punya pakaian, tak yah cerita la, bak kata orang perlis, mengerlip habis. Anak-anak dara diaorang lagi la mengancam, maklumla, lepas raya, jadi boleh la bergaya dengan baju raya tu..siap dengan beg tangan saloma tu. Aku? pakai baju kemeja lengan pendek berkotak-kotak..hahahaha…macam driver je kan..

Jadi, acara malam tu pun berjalan lancar dengan lancar. Lepas majlis tu, sempatla berjumpa dengan kawan-kawan lama untuk kemaskini cerita dari bebudak ni…sipolan ni dah ada anak la, sipolan ni dah bertunang la, sipolan ni dah berceraila..aku punya cerita je yang tak berubah dari dulu lagi..Belum bernikah, belum ada pasangan, apakan lagi ada anak…hahahahah

Maka malam tu, aku pun balik la dengan senyuman (sebab terlalu banyak cerita yang aku teringat balik dengan member aku yang kawin tadi-kami pernah duduk bujang masa lepas grad dulu-dan awek cum bini dia sekarang ni pun aku kenal sangat)..Dalam pada dok mengelamun tu, tetiba ada 2 biji satria memandu dalam keadaan yang amat mencurigakan. Aku pun hairan bin ajaib, pasal apa diaorang ni rapat sangat dengan aku, sedangkan aku memandu kat sebelah kiri….Bukan ke laluan kiri tu untuk jalan perlahan? dan aku memang perlahan pun, sebab tu aku pandu belah kiri.

Aku bertambah curiga, sebab apa kereta belakang ni bagi lampu tinggi kat aku, sedangkan aku rasa, tak de apa yang salah pun dengan aku. Dalam pada mengmuhasabah diri (installment dah bayar-dan aku rasa tak pernah miss pun-, bil api/air pun tak pernah miss, aku ada kacau awek orang ke masa kat makan kat dewan tadi? dan segala macam la aku pikirkan). Dengan tak semena-mena, ada sebiji lagi satria datang himpit aku.

Wah..ni dah masuk cerita Fast and Furious atau Tokyo Drift nih..Ada samseng mengacau aku ni..Masa tu aku dah sedia nak tepon member aku (Inspektor Polis-bukan inspektor Gerak Khas tau kawan-kawan)..Takut kalau apa-apa jadi..Dalam pada tu, mamat yang himpit aku tu buka tingkap, sambil tunjuk middle finger..Aik…apasala lak mamat nih? tetiba je tunjuk middle finger kat aku..pas tu, dia maki aku dengan dirty words..(*&^%$%#$@#-korang pepandaila terjemahkan sendiri).

Aku buat biasa je la.Bila aku nampak lambang Petronas, terus je aku belok ke kiri..Konon-konon nak isi minyak la. Aku nasib baik sebab kat stesen minyak tu, masih banyak kereta yang tengah mengisi minyak. Jadi, geng samseng ni, terus la belah, membelah dingin pagi dengan kecewa kot..

Aku tak tau la, apa motif geng samseng Sarip Dol Kampung Dusun ni. Pendapat aku, ada dua sebab kenapa ada samseng jalan raya.Yang pertama, memang kerja diaorang jadi samseng jalan raya terancang. Diaorang indimidate, provoke pengguna jalan raya untuk berlumba, dan selepas itu, akan menyebabkan kemalangan dengan pengguna jalan raya yang lain. yang pasti, samseng ini akan mendapat faedah dari kemalangan ini. Dan sudah tentu samseng-samseng ini dari bengkel-bengkel kereta yang mendapat keuntungan dari kemalangan pengguna jalan raya ini.

Sebab kedua ialah tekanan kerja. Macam aku tulis memula kat entry ni, aku baru balik dari mesyuarat. Ko bayangkan kan la, penat gila aku buat kertas kerja tu, sampai berpinar kepala aku mengadap pc untuk seminggu yang lepas. Alih-alih, sedap je diaorang tembak semua sekali. Kalau dah kena tembak, sahihla kena buat lagi sekali kan. Kalau kena buat sekali lagi, bertambah pening la aku kan. kalau dan bertambah pening, bertambah la tekanan kerja aku. Jadi, ini lah mungkin antara ada antara kita yang menjadi samseng jalan raya..Kononnya untuk melepaskan tekanan kerja.

Entah la.makin maju Malaysia ni, makin ramai yang sakit jiwa. Ada yang sanggup bomkan badan manusia. Ada yang sanggup bunuh dengan kerat-kerat badan manusia. Tu belum lagi yang tembak pakai pistol, tikam dan segala bagai. Maka tidak hairan la nanti, kita dengar anak tembak bapak, cucu tikam datuk dan segala macam jenayah yang tak masuk akal. Cuma aku harap, kita semua mampu berfikir dengan waras akan segala tindakan yang kita ambil. Jangan kerana duit, sanggup antara kita berbunuh-bunuhan sesama kita. Murah sangat ke nyawa manusia ini?

Raya Dan Cerita TV

November 2, 2006

Seperti raya-raya yang sebelum ini, pelbagai rancangan menarik disediakan oleh stesen televisyen (tv) tempatan. Kumpulan Media Prima, menyediakan “hidangan” raya, semenjak dari awal puasa lagi.  Dengan “Diari Rafique” sebagai suapan awal, Media Prima secara sedikit sebanyak mempengaruhi penonton untuk “setia” bersamanya. Anak syarikatnya yang lain  pula, sibuk menyiarkan kembali cerita dari Korea “Winter Sonata”. Pelbagai strategi dimainkan untuk memastikan rating mereka sentiasa tinggi. Itu masa berpuasa..bila raya menjelma, nah…..dengan drama raya,  lagu raya, dan segala macam cerita raya  keluar dari kotak hitam (magic box-mengikut istilah rakyat Amerika ketika tv mula diperkenalkan dahulu).

Ohh..Tidak lupa Astro! Berbekalkan “tag line-Jangan Raya Tanpa Ria”, saluran 4 Ria, turut sama menyediakan pelbagai “juadah” raya. AC disini-dengan jemputan khas bersama Aleeza Kassim yang sexy dan anggun itu berbincang mengenai raya dan kisah peribadi yang aku rasa, langsung tidak membina minda-mana modal insannya?. “Juadah” berterusan sehingga la takbir raya di awal pagi.

Maka pesta raya pun bermula la dengan kisah artis bersalam-salaman yang kononnya saling bermaaf-maafan, memohon ampun atas kesilapan. Ini diteruskan lagi dengan drama raya-yang bagi aku, struktur, intonasi dan penggunaan ayat yang digunakan,  apatah lagi jalan cerita yang mengarut seperti Lady Boss, Gangster dan cerita yang  paling seram pada abad ini, Harum Sundal Malam (betul ke tajuk dia nih) langsung tidak mengambarkan situasi sebenar masyarakat Melayu Muslim pada hari ini.

Itu belum lagi cerita mengarut Astana Idaman yang aku rasa cerita begini hanya sesuai untuk ahli keluarga ADUN Port Kelang je. Mesti korang ingat aku tengok sume cerita tu kan!! Tapi korang jangan terperanjat. Semua cerita kat atas tu, aku baca sinopsis je. Aku tak perlu buang masa untuk tengok cerita yang merapu dan menjual air mata dengan murah.

Bagi aku, air mata tak ternilainya. Air mata yang keluar ketika memohon ampun dari ibu dan ayah adalah 1000 kali besar ertinya dari membuang tak tentu pasal. Air mata yang keluar dari mangsa tsunami di Indonesia dan juga Malaysia lagi besar nilainya dari membuangnya kerana menonton drama. Air mata rakyat Palestin lagi tinggi nilainya dari air mata Awie sebab berkawin dua.

Aku tak nak cerita pasal air mata, apatah lagi pasal cerita artis Malaysia nih. Apa yang aku nak cerita ialah pasal rancangan tv dan Hari Raya. Sekarang ni aku tengok, terlalu banyak program tv yang dimainkan sempana menyambut Eidulfitri. Dengan segala macam rancangan, anak-anak kita, tak kira la yang remaja ke, belia ke,  yang tua pun sama juga, secara tidak langsung, akan menonton rancangan yang dihidangkan.

Tujuan utama Eidulfitri ialah untuk meraikan kemenangan, setelah sebulan kita berpuasa. Selain itu, kita di tuntut untuk mengunjungi sanak saudara untuk bermaaf-maafan sesama kita. AKu teringat, masa aku kecik-kecik dulu, sepanjang bulan puasa, kami adik beradik telah di ajar untuk berpuasa. Pada sebelah malamnya pula, aku akan ke madrasah yang berdekatan untuk menunaikan tarawikh. Bila nak dekat raya je, sume kueh dah siap di masak dan dibungkus dua set-setiap set untuk diberikan untuk keluarga ibu dan ayah.

Seminggu sebelum raya, kami adik beradik dah berasa sangat teruja untuk pulang ke kampung. Sibuk mengemas baju raya, dan tak lupa untuk mengemas rumah. Bila hari nak balik kampung nya, aku rasa sangat gembira, kerana kami sekeluarga  jarang dapat pulang ke kampung.  Maka bermula la episod beraya aku di kampung.

Kalau malam rayanya, kami sepupu akan memasak lemang, ketupat-yang dianyam,bukan nasi himpit. wah, malam tu memang seronok, sambil bermain bunga api yang dibeli oleh pakcik aku. Ohh ya, bukan setakat lemang dan ketupat, rendang, dan segala macam hidangan disediakan pada malam tu.  Kalau ada yang rajin, sahih dah kena masak dodol. Kalau nak mengacau dodol, sahih la tak tidur malam tu.

Dalam pada memasak tu, ada pula pasukan bertakbir yang datang dari masjid berdekatan. Pasukan takbir ini diuruskan oleh penghulu dan mendapat kerjasama dari AJK Masjid. Maka, bertakbirlah pasukan ini, di hampir setiap rumah dikampung aku nih.  Dalam pada dok sibuk dengan mengacau dodol, masak lemang bagai, sempat pulak aku main bunga api. Dulu, sangat senang untuk membeli bunga api. Sebut aje, pasti ada dijual dipasaran terbuka.

Bila pagi raya tu, suasana memang sangat kecoh. Bayangkan setiap keluarga, paling kurang ada 4 anak. Nenek aku (sebelah mak aku ada 8 anak), berebut bilik mandi yang hanya ada satu tu. Kalau, rajin dan tahan sejuk, mandila jam 5 pagi. Dan itu yang aku buat,  lepas mandi, tido balik..hehehhe..dengan budak kecik menangis la, dengan bebudak cari beg baju la, dan segala macam perangai la.

Lepas balik dari Solat Eidulfitri, rumah nenek aku akan penuh sepanjang hari. Segala macam jenis orang datang beraya. Kadang tu, sampai tak menang tangan nak layan tetamu yang datang. Tetamu bertali arus, sehingga la raya ke tujuh.Lepas tu, baru la boleh berehat skit.Jadi, bila masa aku tengok tv waktu tu?